KUALA LANGAT, 1 OGOS: Sebanyak 104 notis kesalahan dikeluarkan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) terhadap pemandu kenderaan berat di sekitar daerah ini kerana meletak kenderaan di kawasan larangan.
Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, kesalahan itu dikesan dalam operasi membabitkan tiga pegawai dan 18 anggota MDKL termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tanjung Sepat, Bandar Mahkota, Jenjarum dan Telok Panglima Garang, baru-baru ini.
Katanya, dalam operasi dijalankan pada jam 5 petang hingga 1 pagi itu, pihak JPJ turut mengeluarkan 11 notis kesalahan di bawah Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan yang enggan mematuhi undang-undang ditetapkan.
“Antara kesalahan yang banyak dilakukan pemandu tidak bertanggungjawab ini adalah meletakkan kenderaan berat seperti bas dan lori di kawasan taman perumahan serta bahu jalan.
“Bandar Mahkota mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 26 notis kesalahan, Jenjarum (22), Banting dan Tanjung Sepat masing-masing mencatatkan 19 notis serta Teluk Panglima Garang (10) di bawah Undang-Undang Kecil 7, Undang-Undang Kecil Taman (MDKL) 2007.
“Bagi kesalahan di bawah Sekyen 46 (1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Banting mencatatkan kesalahan tertinggi dengan lima notis kesalahan manakala Tanjung Sepat (tiga),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, penerima notis bakal berdepan denda maksimum sehingga RM1,000 atau RM2,000 jika disabitkan kesalahan.