Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri berpuas hati tahap penyediaan kertas kerja Program Subsidi Petrol

GEORGE TOWN, 12 OGOS: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sangat berpuas hati dengan tahap penyediaan kertas kerja Program Subsidi Petrol bersasar yang dijanjikan kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah.

Saifuddin berkata, beliau sangat berpuas hati dengan kerja-kerja awal ini sebelum pembentangan kertas kepada jemaah menteri.

“Walaupun dari segi garis masa itu lari sedikit di mana ia sepatutnya diumumkan pada suku pertama tahun ini…tetapi kini ia dalam fasa akhir iaitu sedang dalam proses “fine-tuning” sebelum dibentangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadir Majlis Qurban Perdana DUN Pantai Jerejak di Surau Bandar Bayan Baru sini hari ini.

Beliau menerangkan bahawa dalam fasa akhir ini, data-data kumpluan sasar yang dikenal pasti sedang di silang semak untuk memastikan mereka yang benar-benar layak akan dapat untuk menerima subsidi petrol.

“Kita ada pelbagai data dari bantuan sara hidup, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan rujukan akaun kepada Bank Negara Malaysia dimana kita sedang silang semak semua data ini,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Jerejak berkata, selepas siapnya semua proses, kertas kerja ini akan dibentang kepada jemaah menteri untuk mendapatkan kelulusan.

“Jika jemaah menteri berpuas hati, tiada pindaan, arahan terbaru atau keputusan terbaru daripada jemaah menteri, kerajaan akan mengumumkan secara rasmi pelaksanaannya merangkumi seluruh negara,” katanya.

Mengenai jangka masa pembentangan kertas kerja ini beliau menjangkakan ia dibentang dalam masa terdekat.

Dalam Bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada November tahun lepas telah menyatakan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

-BERNAMA