Categories
PILIHAN MINGGUAN

RMK12 beri perhatian lima industri utama

 

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kerajaan Negeri bakal memberi perhatian terhadap proses digitalisasi dan perhubungan lancar lima industri utama membabitkan aeroangkasa, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, alatan perubatan serta bioteknologi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Persekutuan wajar meneliti suntikan dana bersesuaian untuk industri teknologi tinggi itu bagi kemampanan Selangor dalam jangka masa panjang.

Katanya, antara langkah yang boleh diambil bagi mencapai hasrat untuk menjadi negeri utama dalam jangka masa pendek adalah dengan meningkatkan capaian internet berkapasiti tinggi.

“Selangor antara negeri dengan jaringan internet paling meluas iaitu 89.2 peratus, namun jaringan wayar tembaga perlu ditukar ke gentian optik dalam usaha mencapai 100 peratus.

“Penekanan perlu diberikan di Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor kerana belum mempunyai capaian internet berkelajuan tinggi,” katanya pada ucapan alu-aluan ketika Sesi Libat Urus penyediaan RMK12, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Kerajaan Selangor, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga memerlukan penyelesaian tuntas berhubung masalah air di Selangor supaya rizab margin meningkat daripada empat peratus kepada 15 peratus.

“Ini membabitkan pembinaan kapasiti yang dapat dilakukan di kawasan baharu seperti Aeropolis City, Sepang dan Pulau Indah termasuk pengekalan operasi syarikat GEESM di Gugusan Industri Aeropolis serta Aeroangkasa Subang yang memerlukan campur tangan Persekutuan untuk diselesaikan segera,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pembangunan semula Pelabuhan Utara, Selatan dan Barat sebagai Port City berpotensi menjana pendapatan ekonomi termasuk penggantian paip Pulau Indah Industrial Park yang dianggarkan sebanyak RM200 juta.

“Tumpuan turut diberi dalam aspek keselamatan dan keselesaan warga Selangor dengan menambah anggota polis bantuan serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas.

“Pentadbiran ini berhasrat untuk mencapai sasaran satu anggota polis untuk setiap 5,000 hingga 10,000 populasi berbanding ketika ini hanya 13,537 anggota,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata, Selangor juga mahu peruntukan baharu bagi kerja pembinaan 14 sekolah dan menaiktaraf infrastruktur dewan sekolah yang bakal memanfaatkan 7.2 juta penduduk Selangor, menjelang 2025.

“Diharapkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dapat memberikan perhatian terhadap perkara ini,” katanya.