KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Malaysia dan Indonesia akan membincangkan perkara dua hala serta isu kepentingan bersama semasa Majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 yang akan dihoskan negara republik berkenaan.
Kementerian Luar berkata, antara isu itu termasuk pembangunan projek kereta ASEAN, kerjasama dalam industri minyak sawit, pusat pembelajaran komuniti (CLC), pembatasan sempadan maritim dan darat, pembantu rumah warga Indonesia serta Kawasan Maklumat Penerbangan Indonesia.
“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) turut menyentuh permohonan Timor-Leste untuk menyertai ASEAN,” menurut kenyataan kementerian itu lewat malam tadi sempena lawatan rasmi dua hari presiden berkenaan ke Malaysia.
Bagaimanapun, kementerian itu berkata tarikh rundingan tahunan terbabit akan ditentukan kelak.
Kementerian itu berkata, Dr Mahathir turut menyampaikan jemputan kepada Jokowi, untuk menghadiri Sidang Kemuncak KL di sini dari 19 hingga 21 Disember ini.
“Lawatan Jokowi ke Malaysia dan pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Ini adalah lawatan pertama Jokowi ke luar negara selepas dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden, pada 17 April lalu.
Jokowi, yang tiba bersama isteri, Iriana Jojo Widodo di Malaysia pada 8 Ogos lalu, mengakhiri lawatan rasminya sebelum berlepas ke Singapura dari Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, petang semalam.
-BERNAMA