Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga cedera bas persiaran terhumban dari jambatan

SEPANG, 3 OGOS: Sebuah bas persiaran terhumban dari jambatan selepas terbabas di kilometer 0.6 Jalan Salak Tinggi-Nilai, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata, bagaimanapun pemandu bas itu serta dua penumpang bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.40 pagi itu, pemandu bas berusia 40 tahun dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh lalu melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri sebelum terhumban dari jambatan.

“Bas terjatuh ke tepi longkang jambatan sedalam 10 meter dari atas jalan raya.

“Ekoran kejadian itu, pemandu bas dan seorang penumpang yang juga isteri pemandu berusia 30 tahun dan seorang lagi mangsa lelaki berumur 23 tahun mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Katanya, bas itu dipercayai sedang menuju ke Nilai, Negeri Sembilan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur.

-BERNAMA