Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi

SHAH ALAM, 29 SEPT: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang dihenti tugas sementara susulan insiden pencemaran bau di sumber air mentah kembali beroperasi sepenuhnya jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, proses meningkatkan paras kolam imbangan dan penyaluran ke sistem agihan serta kolam perkhidmatan di kawasan terjejas sedang berlangsung.

Katanya, ia bagi membolehkan bekalan air dapat disalurkan bagi proses pemulihan berperingkat kepada pengguna yang terkesan dengan gangguan air berkenaan.

“LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi selepas dihenti tugas selama 13 jam 30 minit dengan pengurangan pengeluaran harian air terawat sejumlah 357 juta liter sehari.

“Bantuan lori-lori tangki air digerakkan dan 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan diaktifkan bermula jam 8 pagi ini bagi menyalurkan bantuan kepada pelanggan yang terjejas hingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Segalaa usaha diambil bagi mempercepatkan pemulihan bekalan dan kerjasama pelanggan amatlah dihargai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selepas dikesan berlaku insiden pencemaran bau dengan bacaan lima ton di sumber air mentah Sungai Semenyih.

Rentetan itu, sebanyak 204 kawasan melibatkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Orang ramai boleh merujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com bagi mendapatkan maklumat dan status terkini atau hubungi kami di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-281 6793 / 019-280 0919 untuk sebarang bantuan.