Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaburan ekuiti TH kekal kukuh sebanyak RM7.48 bilion

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Pelaburan ekuiti Lembaga Tabung Haji (TH) kekal teguh dengan peningkatan nilai ekuiti domestik sebanyak RM1.12 billion kepada RM7.48 bilion setakat 27 September 2019 berbanding RM6.36 bilion pada akhir 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata, ia terus mengambil peluang untuk melabur dalam pasaran ekuiti domestik bagi mengukuhkan portfolio pelaburannya dan tidak melepaskan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion atau secara drastik sejak tiga bulan lalu.

“Pelaburan TH tertumpu kepada syarikat-syarikat utama Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan serta rekod dividen yang baik, menjana pendapatan stabil dan patuh syariah termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang merupakan antara pegangan terbesar bagi portfolio TH.

“Secara keseluruhannya pegangan TH dalam TNB telah bertambah sebanyak RM304 juta sejak 18 bulan yang lepas.”

Selain itu, TH menjelaskan bagi 2019, lembaga syarikat itu tidak memiliki mahupun melupuskan pegangan saham dalam syarikat-syarikat seperti FGV Holdings Bhd, Lion Industries Corporation Bhd, T7 Global Bhd, Shin Yang Shipping Corporation, Brahim’s Holdings Bhd dan Cheetah Holdings Bhd seperti yang dilaporkan media massa baru-baru ini.

Selain daripada ekuiti, TH juga kini giat dalam mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap seperti sukuk.

“TH sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit dan melabur secara berhemah selaras dengan strategi peruntukan aset yang mengutamakan pendapatan mampan jangka panjang dengan mengambil kira risiko yang bersesuaian.

“Ia akan terus mengekalkan tahap tadbir urus yang tinggi dalam mentadbir dana yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya,” katanya.

– BERNAMA