Categories
AGENDA NASIONAL

Piagam PAS-Umno: MB gesa jauhi politik perkauman melampau

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: PAS dan UMNO digesa supaya menjauhi gerakan politik perkauman melampau yang mampu mencetuskan suasana tidak sihat dalam negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, piagam kerjasama antara Pas dan UMNO yang dimeterai dalam acara kemuncak Himpunan Penyatuan Ummah hari ini haruslah berpegang kepada Perlembagaan Negara.

“Mereka sebagai sebuah parti ada hak bergabung dan saya ucapkan semoga berjaya (kerana) masing-masing ada misi politik masing-masing.

“Negara kita negara berbilang kaum dan harus mempunyai polisi seimbang tetapi konteks penyatuan mereka bukanlah aslinya untuk penyatuan ummah sebab bagi saya orang Melayu juga ada dalam parti lain.

“Mereka akan mencipta gerakan politik perkauman melampau, saya bimbang dan harapnya mereka kekal kepada asas perlembagaan, harapnya mereka tidak melampau dalam mengetengahkan perjuangan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Hibiscus 3 di Bandar Seri Coalfields di sini, hari ini.

Himpunan Penyatuan Ummah yang julung kali diadakan, berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Himpunan itu lebih dilihat sebagai permulaan kerjasama politik lebih rapat antara PAS dan Umno selepas bermusuhan lebih 60 tahun untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan.