Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS perintis pasukan CDERT

SHAH ALAM, 13 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi perintis kepada penubuhan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) badan kerajaan di negeri ini sebagai persediaan peringkat awal sesuatu kecemasan atau bencana.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, penubuhan pasukan berkenaan membantu anak syarikat Kerajaan Negeri itu untuk melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan sekiranya berlaku insiden tidak diingini di tapak projek, kawasan perumahan mahupun premis PKNS.

“PKNS adalah sebuah syarikat pemaju hartanah yang banyak terlibat dengan aktiviti pembinaan dan pembangunan perumahan selain memiliki premis-premis dalam jagaan kami.

“Jika berlaku apa-apa di tapak, anggota yang terlibat dalam CDERT sekurang-kurangnya memiliki pengetahuan asas berkenaan kecemasan memandangkan ia (CDERT) ada berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Pasukan CDERT juga dapat bergabung tenaga bersama dengan menawarkan khidmat dan sumbangan kepada kerajaan persekutuan apabila diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran dan Pentauliahan anggota CDERT 2019, di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14,di sini hari ini.

Pentauliahan itu disempurnakan Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Negeri Selangor, Muhammad Yasir Yahya dan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab.

Terdahulu, seramai 78 anggota CDERT yang melengkapkan latihan daripada silibus penuh asas pertahanan awam APM menerima pentauliahan itu terdiri daripada beberapa bahagian merangkumi pentadbiran, teknikal dan kewangan.

Pada majlis sama, Mohd Azizi ditauliahkan Pegawai Kehormat CDERT, manakala 16 ahli pengurusan PKNS menerima pangkat sebagai Pegawai Bersekutu.

Mengulas lanjut, Mohd Azizi berkata, pihaknya merancang untuk meningkatkan jumlah kekuatan anggota CDERT pada setiap tahun dengan memberi keutamaan terhadap kakitangan PKNS.

Katanya, tiada pemilihan dibuat bagi setiap kakitangan yang berminat untuk menyertai pasukan berkenaan memandangkan kesemua mereka berkhidmat secara sukarela demi kepentingan semua pihak.

“Kita ada 11 anak syarikat (GLC) di bawah pengurusan PKNS yang masih belum dibuka bagi menganggotai CDERT dan kemungkinan akan diwujudkan di peringkat GLC pada masa hadapan.

“Mereka akan melalui program latihan yang sudah tentu memberi kebaikan untuk sinergi perniagaan PKNS,” katanya.