Categories
AGENDA NASIONAL

Prof Dr Siti Zainon Sasterawan Negara ke-14

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Penulis dan pengkaji budaya terkenal, Prof Dr Siti Zainon Ismail, dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara ke-14.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, Siti Zainon dipilih berdasarkan sumbangannya terhadap perkembangan sastera dan impak dalam penyebaran ilmu, kepimpinan dalam persatuan sastera, impak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterimanya.

“Kita juga tidak mengenepikan sasterawan terdahulu yang mana mereka juga terlibat memberikan sumbang saran dan nasihat kepada panel pemilihan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Maszlee berkata, majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 21 September ini.

Siti Zainon akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan sebanyak 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku dengan jumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luasnya ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Maszlee berkata, Siti Zainon akan turut diberikan kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan untuk kegiatan mencipta karya sastera dan penerbitan karya serta penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Buat pertama kalinya, Sasterawan Negara ke-14 juga akan menerima elaun sara hidup RM5,000 sebulan.

Maszlee berkata, anugerah itu diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam Bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Menurut Maszlee, sasterawan negara perlu diberi lebih perhatian dan patut dicontohi dalam perkembangan bahasa Melayu dan sastera kebangsaan.

“Di peringkat universiti kita membawa sasterawan melalui program ‘Sasterawan di Fakulti’. Begitu juga di peringkat sekolah, kita sedang meneliti beberapa karya sajak dan puisi untuk dimasukkan dalam silibus Bahasa Melayu untuk diperkenalkan kepada pelajar sejak darjah satu,” katanya.

Siti Zainon, 69, anak kelahiran Gombak, Selangor yang telah menulis 25 kumpulan puisi, kumpulan cerpen (10), antologi cerpen (tujuh), antologi puisi (lima) dan novel (tiga).

Beliau turut menghasilkan 18 buku kajian ilmiah, 21 esei kajian dalam buku (bab) dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi dan majalah-katalog.

Siti Zainon pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Southeast Asian (SEA) Writer Award 1989, Anugerah Budayawan Selangor, Anugerah Tokoh Seni Budaya, memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak enam kali, Penghargaan Seni Seoul Country Club, Korea dan Anugerah Profesor Luar Biasa Universitas Jabal Ghafur Aceh, Indonesia.

-BERNAMA