Categories
EXCO SELANGOR

Program pemutihan kilang, Kerajaan Negeri beri tempoh setahun

KLANG, 24 SEPT: Kerajaan Negeri memberi tempoh setahun kepada pemilik kilang haram menjalankan operasi secara sah dengan melalui proses pemutihan yang ditawarkan bermula 1 Oktober ini hingga 30 September 2020, sebelum tindakan lebih berat akan diambil.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, sekiranya gagal, maka pentadbir tanah boleh mengeluarkan denda tidak kurang dari RM500 serta kompaun harian berjumlah RM100.

Katanya, tindakan itu selari dengan Seksyen 127(1A)(a) dan 127(1A)(b) Kanun Tanah Negara 1965.

“Ingin saya tegaskan, jika pemilik kilang haram masih berdegil, maka pihak bertanggungjawab akan melaksanakan proses perampasan tanah iaitu selaras dengan Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965.

“Sebenarnya sudah terlalu lama kita memberi ruang kepada pemilik kilang ini, dan ini adalah proses pemutihan yang terakhir serta saya menyeru supaya mereka gunakan peluang yang diberikan sebelum tindakan tegas dilaksanakan,” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bergambar bersama Ketua Kanan Pihak Berkuasa Tempatan pada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor di Dewan Hamzah MPK, Klang.24 September 2019.Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran bertempat di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Yusri Zakariah, yang dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pemilik kilang dari seluruh Selangor.

Sementara itu Sze Han dalam sidang media memaklumkan, pihaknya akan menumpukan tiga lokasi panas kilang haram iaitu Telok Gong, Klang, Sungai Buloh dan juga Hulu Langat.

“Kerajaan Negeri melalui PBT dan juga Pejabat Tanah dan Daerah akan turun padang ke lokasi berkenaan dan membuat khidmat nasihat bagi membolehkan semua pemilik terlibat sama melalui proses pemutihan, kali ini.

“Selepas ini saya tidak mahu lagi ada pemilik yang memberi alasan bahawa mereka tidak pernah mendengar program pemutihan kilang haram serta tidak diberi peluang,” katanya.