Categories
AGENDA GLOBAL

Rusuhan di Afrika Selatan, penunjuk perasaan bakar kedai milik warga asing

JOHANNESBURG, 3 SEPT: Rusuhan yang berlaku di bandar Johannesburg pada Isnin menyebabkan beberapa kedai milik warga asing musnah akibat dibakar perusuh, lapor agensi berita Anadolu.

Beberapa kenderaan dan bangunan perniagaan milik rakyat Afrika dan Asia musnah dalam rusuhan yang bertukar menjadi ganas.

Keganasan yang bermula pada Ahad petang di Jeppestown berhampiran Johannesburg itu tercetus apabila penunjuk perasaan merampas kedai milik warga asing dan bertindak membakar kedai berkenaan.

Pada Isnin keganasan menular ke beberapa kawasan lain di Johannesburg dan ibu kota Pretoria, perusuh memecah masuk ke bangunan kedai serta mencuri barang-barang keperluan harian dan peralatan elektronik.

Polis terpaksa menggunakan peluru getah bagi meredakan keadaan selain untuk menghalang perusuh bertindak membakar lebih banyak kedai.

“Kami telah menahan lebih 90 orang di Johannesburg,” kata jurucakap Polis Gauteng Mathapelo Peters kepada wartawan di Johannesburg.

Parti pemerintah Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) mengutuk keganasan itu dan menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap perusuh.

“Apa jua alasan diberikan ia tidak boleh diterima, kami mengutuk keganasan yang berlaku,” kata Setiausaha ANC Ace Magashule pada sidang akhbar di Johannesburg pada Isnin.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Afrika Selatan dilanda gelombang keganasan yang menyasarkan warga asing dan perniagaan mereka ekoran kemarahan rakyat disebabkan kadar pengangguran yang tinggi.

Penduduk menuduh keadaan itu berpunca daripada warga asing merampas peluang pekerjaan yang ada dan sering memenuhi pusat-pusat perkhidmatan sosial seperti kemudahan kesihatan.

-BERNAMA