Categories
AGENDA NASIONAL

1.4 juta tiada MyKad walaupun usia lebih 12 tahun

PUTRAJAYA, 16 OKT: Kira-kira 1.4 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 12 tahun dan memiliki sijil kelahiran didapati masih tidak memiliki kad pengenalan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mereka tidak memiliki MyKad walaupun sepatutnya memilikinya kerana sudah berusia lebih 12 tahun. Saya menyeru sesiapa (warganegara Malaysia) yang tidak ada kad pengenalan untuk memilikinya secepat mungkin kerana ia merupakan satu dokumen yang penting,” katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), daripada jumlah 1.4 juta itu, 45,588 orang adalah mereka yang berusia 13-17 tahun, 970,377 (18-80 tahun), 110 537 (81-90 tahun) dan 302,694 (91 tahun ke atas).

“Mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan kerana pelbagai faktor antaranya tinggal di kawasan pedalaman, lupa dan ibu bapa tidak arif,” katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pendaftaran Negara di JPN di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, terdapat 22 juta pemegang MyKad pada masa ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Ruslin Jusoh dalam ucapannya pada majlis itu berkata beberapa proses permohonan secara dalam talian bagi urusan-urusan utama akan bermula tahun depan.

Ia seperti permohonan pendaftaran kelahiran, cabutan sijil kelahiran, permohonan MyKad kali pertama 12 tahun, cabutan rekod kad pengenalan oleh individu dan agensi luar, dan permohonan perkahwinan bagi pemohon bukan Islam, katanya.

“Bagi urusan ini, pemohon hanya perlu hadir untuk mengemukakan bukti dokumen-dokumen asal sebelum membuat kutipan,” katanya.

Bermula tahun ini, katanya JPN telah melaksanakan pendaftaran kematian secara dalam talian melalui integrasi dengan sistem Polis Diraja Malaysia di mana setiap kematian yang dilaporkan di balai polis Semenanjung Malaysia secara automatik akan direkodkan dalam sistem kematian JPN.

“Permohonan gantian MyKad juga kini boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu hadir di pejabat JPN. Pemohon hanya perlu hadir di pejabat JPN untuk membuat kutipan MyKad,” katanya.

Muhyiddin dalam ucapannya sebelum itu berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan JPN telah membentuk Jawatankuasa Petugas Khas bagi memastikan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik yang dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Julai 2021 berjalan lancar.

Beliau menyarankan SPR dan JPN mengadakan kempen besar-besaran terutama berkaitan pengemaskinian atau pindaan alamat kepada warganegara yang telah bertukar tempat bermastautin.

“Ini akan membolehkan mereka yang mencapai umur 18 tahun dan layak mengundi didaftarkan dalam daerah mengundi secara automatik berdasarkan alamat terakhir dalam pangkalan data JPN,” katanya.

-BERNAMA