Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: Mahkamah tolak permohonan UMNO Pekan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan UMNO Bahagian Pekan untuk menangguhkan penggantungan prosiding pelucutan hak terhadap wang RM700,000 yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili UMNO Bahagian Pekan bersama 40 pihak lain termasuk Najib selaku pemohon dan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziah Mohaide selaku responden.

Dalam penghakimannya, Mohd Nazlan berkata, tiada keadaan khas bagi membenarkan permohonan penangguhan diterima mahkamah.

“Secara ringkasnya, mahkamah menyifatkan bahawa permohonan yang difailkan pemohon adalah remeh dan tiada merit. Pemohon hanya menunjukkan kebimbangan terhadap kehilangan harta itu kepada pihak ketiga.

“Malah perkara itu hanya berlandaskan pendapat dan spekulasi sahaja,” katanya dalam pendengaran permohonan pemohon (UMNO Bahagian Pekan) untuk penggantungan prosiding, hari ini.

Terdahulu, M.Reza dalam hujahannya berkata terdapat keadaan-keadaan khas yang memerlukan mahkamah menilai permohonan UMNO Bahagian Pekan dengan kebarangkalian pihak ketiga tampil bukan satu spekulasi.

“Sekiranya prosiding lucut hak diteruskan dan pihak ketiga hadir untuk menuntut wang (RM700,000) itu manakala Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pemohon, keadaan itu akan menyukarkan pemohon untuk mendapatkan semula harta itu daripada pihak ketiga selain kebarangkalian harta (wang) itu telah digunakan,” katanya.

Sementara itu, Maziah berkata, tindakan peguam yang mewakili UMNO Pekan membangkitkan isu pihak ketiga sekadar spekulasi semata-mata selain kes itu perlu diselesaikan pada kadar segera demi kepentingan awam.

Pada 6 September lalu, pendakwa raya yang merupakan pemohon menamakan UMNO Bahagian Pekan dinamakan sebagai responden pertama manakala Najib responden keempat dan anaknya, Datuk Muhamed Nizar yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, sebagai responden kelapan bersama 40 pihak sebagai responden.

Pada tarikh sama, peguam M. Reza yang mewakili semua responden memohon supaya mahkamah menggantung prosiding pelucutan hak itu sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 30 Ogos lepas yang menolak permohonan UMNO Bahagian Pekan, selaku responden tunggal untuk membatalkan notis lucut hak itu, selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwa raya mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan pelucutan hak mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB dan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

– BERNAMA