Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanjawan 2020 langkah permulaan realisasi WKB2030

KLANG, 12 OKT: Belanjawan 2020 menjadi langkah permulaan ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam disifatkan selari dengan WKB2030 iaitu merapatkan kesenjangan ekonomi, sekali gus memberi keadilan kepada rakyat.

Katanya, belanjawan berjumlah RM297 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM19.5 bilion itu antara lain turut memberi fokus terhadap pemberdayaan golongan belia, wanita, penduduk luar bandar, dan golongan B40.

“Belanjawan yang dibentangkan adalah komitmen kerajaan merapatkan kesenjangan ekonomi antara kelas pendapatan, kumpulan etnik dan wilayah.

“Ia adalah sebahagian daripada falsafah WKB2030 yang berpaksikan model pertumbuhan inklusif demi kemakmuran seluruh rakyat,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Azmin Ali bergambar bersama guru dan pelajar ketika Majlis Penyampaian Kelulusan Baik Pulih Prasarana Sekolah di SMK Telok Gadong, Klang pada 12 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Kelulusan Projek Baik Pulih Prasarana Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Gadong, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, berdasarkan pengumuman semalam, peruntukan pembangunan bagi 2020 dinaikkan kepada RM56 bilion iaitu 18.9 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2020 berbanding 17.3 peratus pada tahun ini.

Katanya, peningkatan itu akan memberi manfaat secara langsung kepada semua rakyat Malaysia khususnya masyarakat B40, penduduk luar bandar dan anak muda.

Tun Dr Mahathir memegang buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 selepas merasmikan Majlis Pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut serta, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Eknomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada 5 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan WKB2030 yang secara khusus memastikan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030.

Ia adalah kelangsungan kepada Wawasan 2020 dengan mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng memegang Belanjawan 2020 selepas membentangkan belanjawan tersebut di Parlimen hari ini.
Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan)
-Foto BERNAMA

Semalam, Guan Eng membentangkan belanjawan kedua Pakatan Harapan berasaskan WKB2030 yang memandu Malaysia Baharu ke arah mencapai status negara maju, hasil pertumbuhan ekonomi dapat dikongsi dengan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kelas, etnik, dan lokasi geografi untuk mencipta masyarakat harmoni, progresif, dan makmur.

Bagi memenuhi WKB2030, langkah teras Belanjawan 2020 sejajar dengan pelbagai strategi Kemakmuran Bersama untuk memastikan tiada siapa ketinggalan apabila Malaysia maju ke hadapan sekali gus setiap rakyat dapat merasakan hasil pertumbuhan negara.