Categories
AGENDA NASIONAL

Khazanah tekad kurangkan hutang kepada RM35 bilion

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) akan mengurangkan lagi hutangnya kepada antara RM35-RM40 bilion daripada paras RM47 bilion yang dijangka dicapai pada akhir tahun ini, menerusi aktiviti pelupusan aset dan penjualan pelaburan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, langkah pelupusan dan penjualan mengurangkan hutang Khazanah tersebut telah terbukti berjaya setakat ini, apabila dana pelaburan negara itu berada di landasan mengurangkan hutangnya kepada RM47 bilion daripada RM55 bilion setahun yang lalu.

Foto BERNAMA

“Proses menjual aset adalah satu urus niaga biasa bagi Khazanah dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tetapi kita perlu memastikan aset-aset yang kita akan jual akan dapat menjana wang dan (menyediakan) dana baharu kepada kita untuk melabur semula ke dalam aset lain dan membuat lebih banyak keuntungan.

“Bagi tempoh 10 tahun lalu, Khazanah telah menjual aset bernilai kira-kira RM65 bilion. Ia bukan suatu yang luar biasa, ia hanya memerlukan pertimbangan strategik berdasarkan situasi pasaran, mewujudkan nilai kepada aset kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pembukaan pada Forum Khazanah Megatrend 2019, di sini, hari ini.

Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Redzuan dalam temu bual baru-baru ini berkata, selain berjaya mengurangkan hutangnya kepada RM47 bilion, dana itu juga berjaya menjanakan hasil RM9 bilion semasa tempoh tersebut.

Dana pelaburan negara itu, katanya, dijangka pulih dan menjana potensi hasil sebanyak RM5 bilion tahun ini.

“Walaupun nilai aset kita masih pada RM130 bilion, hutang kita telah susut sebanyak RM10 bilion, jadi dari segi aset bersih atau lembaran imbangan bersih kita, ia menjadi semakin kukuh.

“Daripada unjuran kami, Khazanah boleh dan sepatutnya mempunyai hutang sekitar RM35 bilion kerana dengan menggunakan kombinasi hutang dan ekuiti daripada kerajaan, kita boleh memaksimumkan pendapatan kita,” kata Shahril Ridza dalam temu bualnya bersama RTM.

Sementara itu, mengenai usaha mencari rakan kongsi bagi Malaysia Airlines Bhd, Mohamed Azmin berkata, Khazanah menerima beberapa cadangan berhubung perkara itu dan sedang menilainya ketika ini.

“Buat masa ini saya tidak dapat mendedahkan sebarang butiran terperinci kerana proses penilaian itu masih sedang berjalan. Sebaik sahaja Khazanah dan MAS memuktamadkannya, barulah kami akan membuat pengumuman yang sewajarnyna,” katanya

Terdahulu dalam ucapannya, Azmin berkata kerajaan komited untuk menyediakan model pertumbuhan lebih inklusif yang akan menjaga kesejahteraan rakyat, lebih-lebih lagi bagi golongan kurang bernasib baik dan miskin yang tinggal di kawasan luar bandar dan bandar.

“Bagaimanapun, untuk menghidupkan keadilan pengagihan dalam era moden ini , kita tidak boleh mengabaikan prasyarat, iaitu, untuk mengembangkan dan membesarkan saiz ekonomi agar semua rakyat Malaysia boleh menikmati kemakmuran negara dengan lebih saksama.

“Meskipun penting bagi kerajaan untuk mengekalkan disiplin fiskal, kita juga memerlukan perangsang untuk ekonomi berkembang dan menjadi lebih rancak,” katanya.

Azmin berkata, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bermula dari 2021 hingga 2025 akan menjadi fasa pertama untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), di mana objektif dan semangat pelan sepuluh tahun itu akan membentuk falsafah dasar bagi memacu pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

“Ketika kita merancang peringkat pembangunan ekonomi seterusnya bagi Malaysia, kita juga sedar akan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Bagaimanapun, kita perlu mempunyai kepastian bahawa negara kita telah membangunkan pengetahuan yang kukuh dan menyeluruh dan dengan itu, mengambil pengajaran daripada sejarah politik dan ekonomi kita,” katanya.

– BERNAMA