Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKNS berusaha bawa pulang mangsa kemalangan di Turki

SHAH ALAM, 17 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Turki dan Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang segera semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Afyonkarahisar, Turki.

Pihaknya dalam kenyataan turut mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas dinaiki 35 rakyat Malaysia yang terdiri daripada kakitangan PKNS yang sedang mengikuti aktiviti percutian.

Bas yang dinaiki rombongan itu dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia ketika kemalangan berlaku di Afyonkarahisar lebih kurang jam 11 pagi waktu Turki, semalam.

Seorang kakitangan PKNS, Azalan Miswan disahkan meninggal dunia manakala empat orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital Afyonkarahisar sementara selebihnya hanya mengalami kecederaan ringan serta berada dalam keadaan stabil.

Dalam perkembangan lain, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Azalan yang terkorban dalam kemalangan itu.

“Saya dukacita dengan laporan awal bahawa seorang rakyat Malaysia yang juga kakitangan PKNS telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut sementara 10 lagi mengalami kecederaan.

“Saya mengucapkan takziah buat keluarga mangsa kemalangan dan keluarga besar PKNS atas kehilangan tersebut. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan Allah SWT. Saya juga mendoakan supaya mangsa lain segera sembuh dan selamat.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Turki serta pihak berkuasa tempatan atas bantuan segera yang disampaikan kepada rakyat Malaysia dan keluarga yang terlibat,” katanya.