Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UKM sasar 85 peratus graduan dapat kerja

SHAH ALAM, 1 OKT: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyasarkan sekurang-kurangnya 85 peratus graduannya mendapat pekerjaan selepas enam bulan menamatkan pengajian.

Naib Canselornya, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, oleh itu, UKM telah menyediakan pelbagai inisiatif dan program kepada mahasiswa bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam bidang pekerjaan.

“Sebelum ini media melaporkan 53,000 siswazah menganggur selepas enam bulan menamatkan pengajian tetapi kita kena pastikan graduan UKM bukan salah seorang daripada statistik ini.

“Saya mahu graduan UKM sebelum majlis konvokesyen sudah mendapat pekerjaan. Kami tidak mahu ada antara graduan yang hanya mahu bergraduan sahaja tanpa memikirkan soal pekerjaan,” katanya ketika sesi bertemu mahasiswa baharu.

Hadir sama, Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Sebelum itu, seramai 4,060 pelajar baharu sesi akademik 2019-2020 telah melafaz ikrar.

Mohd Hamid berkata, terdapat beberapa punca yang dikenal pasti susulan graduan gagal mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat belajar.

Ia termasuk ada graduan yang meminta gaji tidak munasabah, terlalu memilih pekerjaan, tidak fasih berbahasa Inggeris, kurang kemahiran berkomunikasi serta sikap dan personaliti yang tidak bagus.

“Walaupun UKM adalah universiti yang menggunakan Bahasa Melayu dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, tetapi kita tidak membelakangkan Bahasa Inggeris.

“Pelbagai inisiatif yang telah kita rangka dan gunakan kepada pelajar supaya saudara saudari tidak ketinggalan dalam menguasai Bahasa Inggeris,” katanya.