Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

46,873 unit rumah mampu milik akan dibina mulai tahun depan

PUTRAJAYA, 8 NOV: Sebanyak 46,873 unit rumah mampu milik swasta dengan harga jualan tidak melebihi RM300,000 seunit, akan dibina dalam tempoh tiga tahun, di enam negeri bermula tahun hadapan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Pembinaan 16,873 unit rumah akan dilaksanakan 11 syarikat swasta di atas tanah milik persendirian syarikat terbabit, manakala sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor iaitu Menteri Besar Incorporated (MBI) pula terlibat membina 30,000 unit, katanya.

Zuraida berkata projek perumahan dengan keluasan minimum 900 kaki persegi setiap rumah itu akan dilaksanakan di lokasi strategik seperti Puchong, Rawang, Sepang dan Shah Alam di Selangor, Sungai Besi, Sentul dan Setapak di Kuala Lumpur serta di Melaka, Terengganu, Johor dan Sabah.

“Walaupun dibina di tanah milik swasta, kementerian beri syarat-syarat untuk menyertai projek, antaranya lokasi mestilah di pinggir bandar utama, dekat dengan kemudahan asas seperti pengangkutan dan sekolah,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Projek Perumahan Mampu Milik (Swasta) di sini hari ini.

Selain itu, pemaju juga diingatkan supaya menyediakan kemudahan infrastruktur lengkap seperti kolam renang, dewan serba guna, surau dan taman permainan di setiap projek perumahan, katanya.

Zuraida berkata kementerian juga sedang dalam perbincangan, membangunkan projek perumahan mampu milik swasta kumpulan kedua antara 15 dan 20 lagi projek bersama pemaju swasta yang lain, yang dijangka dapat dimuktamadkan Januari depan.

Dalam perkembangan lain, Zuraida menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak pernah memberikan lanjutan masa (EOT) kepada pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan dalam tempoh ditetapkan.

Beliau berkata Jabatan Perumahan Negara amat tegas dalam soal pemberian EOT di mana pertimbangan pemberian lanjutan masa, hanya akan diberi kepada projek yang belum bermula, bukannya yang telah bermula tetapi gagal disiapkan pemaju dalam waktu dipersetujui, antara pemaju dan pembeli.

“Di bawah kerajaan baharu memang kita tidak pernah memberikan EOT pada projek yang telah bermula, demi menjaga kepentingan pembeli,” katanya.

-BERNAMA