Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ahli parlimen pembangkang masih belum isytihar harta

SHAH ALAM, 23 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu salinan pengisytiharan harta daripada ahli parlimen pembangkang, walaupun tarikh berbuat demikian tamat hampir sebulan lalu.

Menurut laporan Malaysiakini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata ahli parlimen perlu mengisytiharkan aset mereka melalui akuan bersumpah kepada Speaker Dewan Rakyat.

“Kami hanya akan menyiarkan pengisytiharan harta pada portal sebaik sahaja kami terima daripada mereka,” katanya.

Sebelum ini Dewan Rakyat memaklumkan ramai ahli parlimen pembangkang, terutama dari Barisan Nasional, masih belum mengemukakan pengisytiharan harta mereka.

Bagaimanapun, pada 18 November lalu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata pembangkang tidak akan mengisytiharkan aset mereka kerana tiada undang-undang mewajibkan mereka berbuat demikian.

Kenyataan itu sekali gus bercanggah dengan usul dibentangkan Menteri undang-undang VK Liew pada Julai lalu.

Menurut usul itu, ahli parlimen mesti melengkapkan perisytiharan aset peribadi, perisytiharan harta tambahan dan pelupusan perisytiharan aset – semuanya dibuat di bawah Akta Akuan Berkanun 1960.

Mereka yang gagal berbuat demikian pada 1 Oktober boleh dianggap menghina peraturan Parlimen dan berdepan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen di bawah Peraturan Mesyuarat 80.

Usul itu diluluskan dengan sebulat suara, walaupun banyak halangan daripada pembangkang yang antara lain mengatakan pengisytiharan aset bukan di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Pada masa ini, hanya aset yang diisytiharkan oleh ahli parlimen Pakatan Harapan dan anggota eksekutif disenarai di laman sesawang yang diselenggara SPRM.