Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar Kebersihan Negara wujud Malaysia bersih, mampan dan sejahtera

MELAKA, 1 NOV: Dasar Kebersihan Negara yang dijadual dilancar Ahad ini di sini, bakal menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, mampan dan sejahtera melalui pembudayaan amalan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan dasar itu akan bermula tahun hadapan sehingga 2030, yang mana semakan semula dasar itu akan dilakukan pada tahun 2025.

Beliau berkata dasar itu berfokus kepada lima kluster bersama 14 strategi komprehensif, selain menggariskan 87 pelan tindakan bagi memperinci pelaksanaan perlu diambil kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, kerajaan tempatan, dan agensi-agensi lain berkaitan.

“Lima kluster yang digariskan dalam Dasar Kebersihan Negara adalah kesedaran terhadap kebersihan, kelestarian alam sekitar, ekonomi kitaran, tadbir urus dan penguatkuasaan, serta modal insan berkualiti dan berkemahiran,” katanya menerusi kenyataan kepada Bernama.

Katanya dasar itu meletakkan objektif meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kebersihan dalam masyarakat; meningkatkan kebersihan persekitaran dan kelestarian alam sekitar; menggalakkan inisiatif sisa sebagai sumber pendapatan; dan memperkasa tadbir urus dan penguatkuasaan agar lebih cekap, berkesan dan berintegriti.

Zuraida berkata, objektif yang ingin dicapai itu juga selaras dengan komitmen negara untuk melaksanakan inisiatif di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Beliau melihat cabaran daripada sikap masyarakat tidak mementingkan penjagaan alam sekitar boleh menimbulkan impak negatif mewujudkan persekitaran kondusif dan sejahtera melalui dasar itu, selain pembuangan sampah tidak terurus, sikap membuang sampah merata-rata dan pembuangan sampah haram.

“Persekitaran tidak bersih akibat pembuangan sampah sarap boleh menyebabkan timbulnya kacau ganggu kepada persekitaran seperti menyebabkan bau busuk, pencemaran alam sekitar seperti pencemaran sungai dan laut.

“Persekitaran tidak bersih juga menyebabkan kehadiran vektor seperti tikus, lalat dan nyamuk menjadi punca kepada penularan penyakit. Penyakit bawaan vektor seperti demam denggi, malaria dan leptospirosis berpunca daripada persekitaran tidak bersih yang menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dasar itu juga meletakkan sasaran yang ingin dicapai pada 2030, menurut beliau sasaran yang ditetapkan ialah perubahan minda dan sikap masyarakat tentang aspek penjagaan kebersihan diri, keluarga, komuniti dan alam sekitar.

Selain itu, dasar itu juga mahu meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab kebersihan di setiap lapisan masyarakat melalui promosi dan publisiti berterusan; peningkatan tahap kebersihan negara; pengurangan pencemaran alam sekitar; pengurangan sisa dihantar ke tapak pelupusan dan peningkatan kitar semula.

Penurunan kes penyakit bawaan vektor; peningkatan kualiti dan kemahiran pekerja sektor pembersihan; peningkatan penglibatan aktif komuniti, NGO (badan bukan kerajaan) dan pihak swasta dalam program dan inisiatif dilaksanakan; pengukuhan tadbir urus dan penguatkuasaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam; dan pengurangan pembiayaan kerajaan bagi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Zuraida menjelaskan pelaksanaan Dasar Kebersihan Negara akan melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi yang bertanggungjawab di peringkat persekutuan dan negeri berdasarkan bidang kuasa dan peruntukan agensi masing-masing.

“Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama dengan kerajaan di samping penglibatan komuniti, institusi pendidikan, agensi swasta dan NGO dalam usaha mewujudkan negara bersih dan melestarikan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata selepas majlis pelancaran dasar itu, kementeriannya merancang untuk mengadakan program libat urus bersama pihak berkepentingan bagi melaksanakan strategi dan pelan tindakan yang telah ditetapkan dalam Dasar Kebersihan Negara.

-BERNAMA