Categories
AGENDA NASIONAL

Mindef teliti tawaran beli pesawat tempur Rusia

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Kementerian Pertahanan (Mindef) masih meneliti tawaran kerajaan Rusia supaya Malaysia membeli jet pejuang baharu buatannya, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau bagaimanapun berkata, buat masa ini, soal itu tiada dalam perancangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana Mindef kini lebih menumpukan kepada aset pertahanan bercirikan kawalan dan rondaan sempadan maritim bagi menghalang pencerobohan asing.

“Sehubungan itu, TUDM telah menyediakan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau CAP55 yang menggariskan perancangan menyeluruh pembangunan keupayaan TUDM sehingga tahun 2055.

“Pelan ini merangkumi perolehan aset baharu selari dengan peredaran masa, penggantian pesawat yang usang dan naik taraf aset sedia ada.

“(Ini dibuat) dengan mengambil kira faktor perancangan realistik berdasarkan keutamaan masa yang berfokuskan kepada pengurangan jenis pesawat, menangani isu keusangan dan peningkatan kos senggaraan,” katanya ketika sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini kepada pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai perkara itu.

Mohamad dalam pada itu berkata, TUDM akan terus mengekalkan pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan Su-30MKM untuk tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13.

“Keperluan terkini adalah perolehan Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial Vehicle (MALE UAV) serta keupayaan tempur ringan dan latihan juruterbang melalui perolehan Light Combat Aircraft (LCA) bagi menambah baik keupayaan dan kesiapsiagaan TUDM,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Wong Hon Wai (PAKATAN-Bukit Bendera) mengenai jangkaan pembentangan Kertas Putih Pertahanan, Mohamad berkata, ia akan dibentangkan pada sesi persidangan kali ini.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Kertas Putih Pertahanan itu kini dalam peringkat akhir penyediaan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember.

– BERNAMA