Categories
SELANGOR

Nguyen, Dos Santos tidak lagi sarung jersi Selangor

SHAH ALAM, 17 NOV: Selangor melepaskan dua pemain importnya iaitu tunggak pertahanan, Michal Nguyen dan pemain tengah, Endrick Dos Santos selepas kontrak mereka tidak dilanjutkan bagi menghadapi musim baharu tahun hadapan.

Perkara itu disahkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi ciapan di laman Twitter @FASelangorMy, semalam.

“Sudah menjadi lumrah bola sepak tiada pemain yang akan kekal selama-lamanya untuk sesebuah pasukan.

“Oleh disebabkan itu, FAS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beberapa pemain yang akan meninggalkan skuad Selangor bagi musim ini.

“Meskipun tidak lagi menyarung jersi Selangor selepas ini, nama anda akan kekal dalam sejarah bola sepak Selangor sampai bila-bila.

“Jasa anda akan sentiasa kami kenang. Selamat tinggal dan terima kasih,” tulisnya.

Perkembangan itu menyaksikan Gergasi Merah memiliki hanya satu lagi slot import untuk diisi iaitu kuota import ASEAN apabila sebelum ini mereka membuat keputusan mengekalkan empat pemain import sedia ada, Rufino Segovia, Ifedao Olusegun, Sandro da Silva dan Taylor Regan.

Dalam pada itu, enam pemain tempatan turut dilepaskan iaitu Faiz Nasir, Nurridzuan Abu Hassan, Latiff Suhami, Azreen Zulkafali, Fandi Othman dan Norhakim Isa.

Antara pemain yang kekal menyarung jersi Selangor bagi musim hadapan adalah Khyril Muhymeen Zambri, Wan Zack Haikal Wan Noor, K Prabakaran, Halim Saari, Syukri Azman, Syahmi Safari, K Sarkunan dan Syazwan Zainon.

Mengikut jejas sama adalah A Namathevan, Khairulazhan Khalid, Sean Selvaraj, Ashmawi Yakin, Tamil Maran, Haziq Ridwan dan Farizal Harun.