Categories
EXCO SELANGOR

Pelancong negara seberang tambak paling ramai melawat Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 22 NOV: Selangor antara destinasi paling menambat perhatian pelancong Singapura dan merekodkan kehadiran tertinggi berbanding negara lain pada tahun lalu, kata Datuk Abdul Rashid Asari.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan berkata, seramai 316,230 pelancong dari negara seberang tambak itu memilih Selangor sebagai destinasi pelancongan daripada keseluruhan 7.23 juta pengunjung dicatatkan bagi tempoh sama ke negeri berkenaan.

“Ini adalah suatu pencapaian yang baik dan boleh ditingkatkan lagi untuk industri pelancongan Selangor, seterusnya memberi lonjakan pembangunan ekonomi negeri serta negara.

“Malah, kita juga mencatatkan hasil cukai pelancongan berjumlah RM10.3 juta yang dilihat sebagai satu pendapatan kepada Kerajaan Negeri,” katanyapada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) peringkat Selangor, di Grand Ballroom, Eastin Hotel Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mohammad Bakhtiar Wan Chik serta Pengarah Pejabat MOTAC Selangor, Syed Mohd Fariz Syed Mansor.

Sebagai langkah meningkatkan kehadiran pelancong pada tahun hadapan, Abdul Rashid berkata, pihaknya menerusi Tourism Selangor kini giat melakukan persediaan terperinci membabitkan perancangan strategik promosi pelancongan.

Katanya, pelbagai acara besar disusun sempena TMM2020 antaranya Selangor Marathon, Selangor Cruise Festival , Selangor Golf Open, REGATTA (Perlumbaan Bot) dan Selangor International Indigenous Arts Festival.

“Penganjuran acara ini banyak memberi impak kepada pelancong untuk mengenali Selangor secara lebih dekat dan Malaysia amnya, selain memberi sumber pendapatan untuk masyarakat setempat.

“Selangor mempunyai pelbagai produk pelancongan yang menarik dan ia seharusnya dikembangkan lagi untuk menarik minat kedatangan pelancong.

“Kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta semua lapisan masyarakat amat diperlukan bagi menaikkan lagi industri pelancongan Selangor berdasarkan kepada kepelbagaian produk pelancongan sedia ada,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa rakyat Selangor supaya membantu menguar-uarkan logo dan lagu kempen TMM2020 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad pada Julai lalu.

“Masyarakat boleh menyokong pelaksanaan kempen TMM2020 secara bersepadu melalui pelbagai usaha seperti penyampaian perkhidmatan yang mesra dan memelihara kebersihan tempat pelancongan.

“Selain itu, produk pelancongan perlu diselenggara dan dipulihara serta menambah nilai kepada yang sedia ada,” katanya.