Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Najib untuk periksa dokumen Justo didengar 13 Disember

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Disember untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan dan memeriksa dokumen diserahkan Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu dibuat berkaitan dengan perbicaraan rasuah dihadapi Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen yang diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes hari ini yang dihadiri peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Hakim turut memerintahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan mereka sebelum atau pada 30 November.

Terdahulu, Muhammad Shafee berkata, beliau menerima afidavit berhubung permohonan itu oleh pihak pendakwaan semalam dan akan menjawab afidavit itu pada Selasa depan.

“Afidavit pihak pendakwaan telah disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Mustafa memberitahu media bahawa dalam afidavit itu, Azam menyatakan dokumen itu diterima dalam kedudukan rahsia rasmi dan dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan.

Seorang lagi peguam mewakili Najib, Al Firdaus Shahrul Naing berkata, Justo pada waktu material merupakan pengarah PetroSaudi International Ltd dan beliau mempunyai akses kepada dokumen berkenaan.

Najib, 66, sebagai pemohon memfailkan notis usul pada 16 Oktober dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Najib antara lain memohon mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen yang dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin telah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu adalah tidak bercanggah dengan kepentingan awam, dan sebaliknya tidak mendedahkan dan menolak untuk ia diperiksa adalah menafikan hak pemohon untuk mendapat perbicaraan adil.

– BERNAMA