Categories
AGENDA NASIONAL

Segera lakukan perubahan jika mahu kekal berkuasa – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Satu perubahan drastik dalam kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu dilakukan dengan mengambil kira kekalahan majoriti yang besar pada Pilihan Raya kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini, kata Timbalan Presiden PAKATAN Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata ini perlu dilaksanakan dalam kadar segera jika PAKATAN ingin terus berkuasa melebihi tempoh satu penggal dan tidak boleh ditangguhkan lagi dengan mengambil kira manifestasi rakyat yang diterjemahkan melalui keputusan pilihan raya kecil tersebut.

“Perubahan drastik yang besar perlu berlaku dalam banyak bidang termasuk dasar, pelaksanaan, dasar belanjawan, dasar fiskal, kepimpinan di mana kita percaya ini adalah penting dan kita perlu melihat,” kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sabtu lepas, Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada PRK kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Mengulas tentang kemungkinan terdapat unsur sabotaj ketika PRK itu berlangsung, beliau berkata perkara itu tidak dapat dipastikan kerana majoriti kekalahan adalah besar, berbanding yang dijangkakan sebelum ini dengan hanya tewas pada majoriti sedikit sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata ia merupakan satu isyarat demokrasi di negara ini telah berlaku dan semua pihak harus menghormati keputusan tersebut.

“Jadi itu satu isyarat, ini proses demokrasi di mana kita kena hormati pendapat pengundi, dan kita tahu mereka membuat keputusan sendiri dan tentu ada sebab kenapa mereka berbuat demikian,” katanya.

-BERNAMA