Categories
AGENDA NASIONAL

Turki sambut baik Sidang Kemuncak KL bincang isu dunia Islam

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada bulan depan di sini yang bakal membincangkan serta menghurai semula tamadun Islam selain mencari penyelesaian baharu bagi merungkai permasalahan dunia Islam, amat dialu-alukan Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakci.

Beliau yang gembira kerana menjadi sebahagian inisiatif itu berkata, Turki akan diwakili Presiden Recep Tayyip Erdogan. Sidang kemuncak julung kali itu akan berlangsung mulai 18 hingga 21 Disember di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Kami, mewakili Turki, menyambut baik inisiatif yang diambil oleh Malaysia untuk membawa pemimpin dan intelektual dari dunia Islam merungkai pelbagai isu dan mengemukakan hala tuju yang akan dilaksanakan,” katanya.

Kavakci berkata, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur bakal menjadi saluran utama kepada umat Islam untuk membincangkan agenda penting yang mempengaruhi dunia.

Selain Erdogan, Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan telah mengesahkan kehadiran.

Bertemakan “Peranan Pembangunan Dalam Mencapai Kedaulatan Negara” sidang kemuncak itu akan dihadiri oleh 450 pemimpin Islam, pemikir intelektual dan cendiakawan dari seluruh dunia.

Majlis prapelancaran sidang kemuncak itu disempurnakan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya pada Khamis.

– BERNAMA