Categories
AGENDA SUKANKINI

Brendan Gan milik Gergasi Merah

SHAH ALAM, 2 DIS: Spekulasi hangat berhubung destinasi perancang tengah Harimau Malaya, Brendan Gan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan terjawab apabila beliau sah menyertai pasukan Red Giants.

Perkara itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melalui satu hantaran video memaparkan pemain berusia 31 tahun itu yang dimuat naik di media sosial rasmi kelab berkenaan, semalam.

“Saya sudah bersedia mengharungi setiap cabaran dan akan sentiasa memberi yang terbaik dalam apa sahaja yang saya lakukan.

“Ini adalah cabaran baharu dan ia tidak mudah. Saya dahagakan kejayaan dan mahu melakukannya bersama Selangor,” katanya.

Teruja menyertai pasukan yang pernah menjulang trofi Piala Malaysia sebanyak 33 kali, pemain kacukan Malaysia dan Australia itu turut memuat naik satu gambar di Instagramnya.

“Visi saya untuk tahun 2020 kini amat jelas. Saya akan memulakan pengembaraan baharu yang mengujakan bersama pasukan Selangor.

“Saya akan menyumbang segala semangat, tenaga, positiviti dan 100 peratus usaha setiap hari bagi pasukan,” tulisnya.

Kehadiran bekas pemain Kelantan dan Perak itu bakal menambah sengat skuad Selangor di jentera tengah, sekali gus menghidupkan peluang Gergasi Merah untuk merampas kembali Piala Malaysia musim hadapan.

Brendan juga berada pada prestasi terbaik dengan mempamer aksi cemerlang bersama Harimau Malaya ketika menentang Thailand dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 awal November lalu apabila mencatat satu gol dan satu bantuan gol.

Setakat ini, Selangor menandatangani dua pemain iaitu Brendan Gan dan Rodney Celvin.