Categories
AGENDA NASIONAL

Pastikan peralatan elektrik dalam keadaan baik semasa perayaan

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya memastikan peralatan elektrik dalam keadaan baik dan selamat sebelum meninggalkan rumah.

TNB dalam kenyataan berkata ia adalah antara satu garis panduan penggunaan elektrik yang praktikal dan bijak tenaga disediakan pihaknya kepada orang ramai yang merancang untuk meninggalkan kediaman masing-masing sempena cuti Krismas dan cuti akhir tahun.

Beberapa panduan lain juga disediakan seperti menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan dan menanggalkan palam bagi mengelakkan arus elektrik terus mengalir.

Di samping itu, TNB menyarankan orang ramai untuk mempertimbangkan penggunaan alat pengukur masa bagi mereka yang ingin memasang lampu rumah bagi tujuan keselamatan atau mengelak kecurian.

Sebelum meninggalkan kawasan perumahan, semua soket perlu berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai berlebihan dan gulungan wayar sambungan tambahan hendaklah dibuka sepenuhnya untuk mengelakkannya menjadi terlalu panas jika digunakan.

Panduan itu menyebut, orang ramai dinasihat untuk sekurang-kurangnya menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) atau Residual Current Circuit Breaker (RCCB) sebulan sekali.

Untuk maklumat lanjut mengenai cara menguji PLAB, orang ramai boleh merujuk ke laman sesawang www.tnb.com.my atau Facebook TNB CareLine.

Sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan elektrik, boleh segera menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan.

-BERNAMA