Categories
ADN SELANGOR

Projek naik taraf jalan berlarutan, penduduk diminta bersabar

SHAH ALAM, 27 DIS: Isu kerja menaiktaraf Jalan Lombong, Seksyen 29 yang berlarutan sejak tiga tahun lalu akan dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri dengan segera kata Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis hari ini.

Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, kelewatan kerja naik taraf itu mengakibatkan pelbagai masalah berbangkit termasuk keselamatan penduduk yang perlu diberi perhatian serius.

“Pemantauan kami mendapati kawasan itu bukan sahaja berdepan dengan kelewatan projek tetapi isu saliran yang dibina tidak mengikuti standard perparitan, masalah pengalihan utiliti dan pembinaan jejambat.

“Banyak isu yang menyebabkan projek menaiktaraf ini memakan masa lebih tiga tahun. Kerja pembinaan jalan ini juga ‘substandard’. Banyak lori pasir serta treler turut menggunakan laluan sama menyebabkan jalan rosak serta berlubang teruk sepanjang jalan.

“Saya akan bertemu dengan pihak berwajib untuk melihat semula keraguan terhadap masalah kerja menaiktaraf ini yang begitu membimbangkan banyak pihak,” katanya kepada SelangorKini.

Malah, Zawawi berkata, pembukaan jalan sementara untuk memudahkan pengguna juga dalam keadaan tidak selamat.

“Pemasangan palang bagi menghalang kemasukan lori juga tidak strategik, jadi kita perlu mencadangkan ia dipasang di tempat yang betul. Kita akan memanggil semua agensi yang terbabit untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau mahu penduduk supaya bersabar dan memberi ruang kepada semua pihak menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Kerosakan jalan yang teruk di kawasan itu meresahkan penduduk. Hal itu kerana kerosakan jalan dengan lubang sebesar ‘kawah’ di sepanjang jalan membahayakan pengguna. Lebih buruk, penduduk terpaksa ‘beralah’ dengan lori hantu yang turut menggunakan laluan sama dipercayai ke kawasan pembinaan.

Difahamkan, beberapa kali penunggang motosikal dan kereta terhumban ke permukaan jalan pada waktu malam kerana tidak perasan kewujudan lubang di tengah laluan.

Terdahulu, penduduk Kampung Lombong menggesa satu perjumpaan diaturkan dengan pihak kontraktor serta Jabatan Kerja Raya bagi mendapatkan penjelasan berhubung status terkini projek pelebaran jalan di kawasan terbabit.