Categories
NASIONAL

Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama perlahan pagi ini

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Aliran trafik dilaporkan perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat 9 pagi ini berikutan orang ramai pulang ke kampung sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik menuju ke pantai timur bergerak perlahan dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR 2) menuju Plaza Tol Gombak sehingga ke Genting Sempah.

“Bagaimanapun, aliran trafik dilapor bergerak lancar di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata trafik perlahan dari Slim River ke Sungkai serta Nilai ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban berikutan pertambahan jumlah kenderaan.

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik.

 

-BERNAMA