Categories
AGENSI SELANGOR

‘Detailing Garage’ penuhi aspirasi hab otomobil Selangor

SHAH ALAM, 4 JAN: Anak syarikat milik penuh PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Park Here Sdn Bhd (PHSB) mengorak langkah setapak lagi dalam mempelbagai cabang perniagaan apabila memperkenalkan perkhidmatan perincian auto ‘Detailing Garage’ kepada ahli berdaftar dengan pengurusan itu.

Ketua Pengurusan PHSB, Mohd Ardisham Mohamad Shahir berkata, pengenalan khidmat terbaharu itu sebagai mencerminkan komitmen perunding tempat letak kenderaan terbabit untuk mencapai aspirasi menuju ke arah hab otomobil di Selangor.

Katanya, beliau mahu melebarkan sayap dalam industri berkenaan dengan membekal peralatan berteknologi tinggi kepada pelanggan, di samping memainkan peranan penting terhadap pengurusan tempat letak kenderaan di seluruh bangunan milik PREC.

“Selepas melihat hala tuju ekonomi Selangor semakin berkembang dengan meletakkan 10 kluster (dalam ekonomi), kita memilih salah satu (daripada kluster) iaitu pengangkutan untuk memastikan hasrat menjadi hab otomobil dapat direalisasikan.

“Justeru, kita sudah membina dan menambah beberapa divisyen perniagaan baharu merangkumi ‘Park Here Equipment’, ‘Park Here Valet Service’, ‘Park Here Trading’ termasuk ‘Detailing Garage’ untuk melengkapkan perjalanan PHSB,” katanya ketika ditemui pemberita di Atria Warisan, Kompleks PKNS di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani; Pengurus PHSB, Marizana Mustafa dan Ketua Pembangunan Perniagaan PHSB, Norasidi Mhd Rashid.

Majlis pelancaran itu turut menyaksikan kira-kira 30 ahli berdaftar mendapat kad keahlian masing-masing termasuk aksesori daripada pakar dandanan kereta, GM Tech Auto Care seperti ‘spray & wipe’ tanpa air, kain mikro fiber berserta sehelai t-shirt.

Mengulas perancangan masa hadapan, Ardisham berkata, pihaknya akan membuka sekurang-kurangnya lima outlet di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada ahli PHSB.

“Cadangan penambahan akan dibuat di sekitar Seksyen 7, Shah Alam, Ara Damansara dan Subang bagi menampung lokasi sedia ada yang terdapat di ruang bawah tanah Kompleks Pusat Konvensyen Shah Alam.

“Malah, kita juga akan menjalin kolaborasi bersama beberapa rakan strategik untuk menyediakan sebuah pusat sehenti perincian kereta kepada ahli dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti tayar dan tinted,” katanya.

PHSB ditubukan pada 2 Julai 2013 dan mula beroperasi pada 1 Ogos 2015 di Presint 6.1, Persiaran Dato Menteri, kemudian Kompleks PKNS Shah Alam, Menara PKNS Petaling Jaya, SACC Mall, Menara WorldWide Jalan Bukit Bintang, Dana 1 Ara Damansara dan Kompleks PKNS Bangi.