Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Duta Besar: Rakyat Malaysia di Wuhan bebas jangkitan koronavirus

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Seramai 82 rakyat Malaysia yang dikenal pasti berada di Wuhan dan sekitarnya, bebas daripada jangkitan koronavirus 2019, menurut Duta Besar Malaysia ke China.

Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata ia berdasarkan komunikasi pihaknya dengan rakyat Malaysia berkenaan menerusi penggilan telefon bagi meninjau perkembangan mereka.

“Setakat ini, kita mengenal pasti 82 rakyat Malaysia di Wuhan dan bandar sekitarnya yang dalam situasi ‘lockdown’.

“Secara umumnya mereka dalam keadaan tenang dan baik serta banyak membantu memberikan butiran rakyat Malaysia yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata proses mendapatkan maklumat lanjut mengenai bilangan dan butiran rakyat Malaysia di Wuhan serta bandar sekitar masih diteruskan.

Buat masa ini, kesemua 82 rakyat Malaysia masih berada di tempat tinggal masing-masing, katanya.

Nushirwan berkata pihaknya sedang giat memantau perkembangan semasa di Wuhan, di samping menyediakan talian khusus bagi memudahkan rakyat Malaysia menghubungi pejabat konsulat di Shanghai, Guangzhou, Kunming, Nanning, Xi’an dan Hong Kong.

Beliau turut menyambut baik hasrat kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan dan berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar Malaysia bagi memperincikan butiran serta prosedur mobiliti itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam berkata Malaysia bersedia untuk membawa pulang rakyatnya yang kini berada di Wuhan jika dibenarkan oleh kerajaan China.

Kerajaan China dilapor melaksanakan perintah berkurung membabitkan jutaan penduduk di beberapa bandar raya yang dikesan dilanda wabak koronavirus.

-BERNAMA