Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia lebih proaktif bendung koronavirus berbanding SARS

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Tindakan Malaysia membendung penularan penyakit koronavirus 2019 (2019-nCoV) disifatkan lebih bersedia, pantas serta proaktif berbanding ketika berdepan wabak berbahaya seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), virus Nipah serta Ebola.

Pakar penyakit berjangkit Datuk Dr. Christopher K.C. Lee berkata pengalaman mengawal kes penyakit berjangkit terdahulu menjadikan Malaysia lebih bersedia termasuk meningkatkan tahap imbasan kesihatan di semua pintu masuk negara serta pengasingan mereka yang dijangkiti wabak itu.

Beliau berkata langkah pantas seumpama itu penting bagi mengurangkan potensi berlakunya ‘local transmission’ panyakit dalam negara ini.

“Berbanding ketika SARS pada 2002, kita ambil masa berminggu-minggu untuk mengesan wabak itu, kini dengan pengalaman, kepakaran dan teknologi kita mampu mengesan wabak itu lebih awal.

“Kita (negara) sekarang dalam fasa ‘pembendungan’, untuk menyekat ia daripada sebarang penularan di sini. Tujuh kes yang dikesan bukan dijangkiti dalam Malaysia tetapi di luar negara dan dibawa masuk ke negara ini. Penting untuk kita bendung wabak itu dari merebak dalam negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dikenali sebagai 2019-nCoV, koronavirus yang menyebabkan keadaan seperti radang paru-paru, mula dikesan pada Disember lalu di Wuhan, China dan gejala jangkitan termasuk demam, batuk dan sukar bernafas.

Koronavirus 2019 dikenal pasti mencetuskan kebimbangan kerana tidak banyak diketahui mengenai virus ini seperti tahap bahayanya dan betapa mudah ia boleh disebarkan antara manusia. Foto BERNAMA

Setakat 8 malam tadi, tujuh kes positif disahkan di Malaysia.

Dr Christopher bagaimanapun berkata, selain kaedah imbasan haba, hebahan makluman dan informasi kepada setiap pelancong yang masuk ke Malaysia khususnya dari kawasan yang dijangkiti juga penting.

“Mereka (pelancong) juga perlu diberi maklumat tentang gejala wabak dan tindakan yang perlu seperti merujuk kepada hospital tertentu sekiranya berasa tidak sihat.

“Ini penting, kerana ketika mereka masuk ke Malaysia mungkin bukan dalam keadaan demam atau gejala wabak itu dan mungkin jatuh sakit selepas beberapa hari,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang berpengalaman mengendalikan kes SARS, Ebola dan virus Nipah itu berkata penularan koronavirus di kawasan terjejas seperti Wuhan, China lebih cepat berbanding penyakit berjangkit lain, tambahan dunia masih kekurangan data mengenai wabak baharu itu.

Katanya, jangkitan koronavirus menjadi lebih buruk kerana faktor peningkatan trend keluar masuk pelancong di China berikutan sambutan Tahun Baharu Cina.

“Ini menjadi lebih buruk kerana mereka melakukan perjalanan pada masa yang sama, jadi ia menimbulkan keadaan lebih rumit,” katanya.

Ditanya dakwaan kononnya Koronavirus boleh tersebar melalui permukaan barang yang diimport dari China, Dr Christopher berkata potensi perkara itu berlaku adalah rendah.

Katanya, kebanyakan virus bertahan dalam sesuatu persekitaran antara beberapa jam hingga beberapa hari, namun bergantung kepada keadaan tertentu.

“Walaupun kita kurang data mengenai Koronavirus, kita beranggapan ia seperti SARS dan influenza yang tidak berterusan lama dalam persekitaran, jadi tahap penularan wabak melalui barangan sangat rendah,” katanya.

-BERNAMA