Categories
AGENDA NASIONAL

Maszlee sifatkan keputusan ‘pulang’ jawatan ada hikmah

KLUANG, 4 JAN: Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik menyifatkan keputusan beliau ‘memulangkan’ jawatan Menteri Pendidikan, dua hari lepas, mempunyai hikmah tersendiri buat dirinya dan penduduk Parlimen Simpang Renggam.

Berucap pada Program Bersama Penduduk yang berlangsung di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Simpang Renggam, di sini hari ini, Maszlee berkata beliau tidak berasa sedih mahupun marah dengan keputusan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menasihatinya ‘memulangkan’ jawatan itu.

“Saya tidak sedih, tidak marah. Yakin ada hikmah di sebalik perkara ini…paling besar saya dapat kembali berkhidmat buat rakyat Simpang Renggam,” katanya.

Menurut Maszlee, beliau berterima kasih kepada perdana menteri kerana memberi peluang selama 20 bulan untuk membuktikan dirinya mampu menggalas tanggungjawab diberikan.

Beliau turut mengakui tempoh itu merupakan kenangan manis sepanjang hidupnya yang sudah berumur 45 tahun.

Untuk pembangunan Simpang Renggam, beliau merancang memperkenalkan kad laporan bagi merekodkan pencapaian Ahli Majlis, Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR).

Maszlee dalam pada itu turut berterima kasih atas sokongan yang diberikan masyarakat terhadap dirinya menerusi petisyen dalam talian yang mendesak agar beliau dikekalkan sebagai Menteri Pendidikan.

“Saya difahamkan petisyen itu sudah hampir setengah juta, terima kasih, saya faham dan berkongsi simpati.

Saya yakin ‘tapak’ yang saya sediakan di Kementerian Pendidikan mencukupi dan pengganti saya nanti akan dapat meneruskan agenda pendidikan negara,” katanya.

-BERNAMA