Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Penjawat awam perlu pantas beri maklum balas rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JAN: Penjawat awam perlu lebih peka memberikan reaksi terhadap sesuatu kes seiring perkembangan teknologi kerana rakyat kini mahu penyelesaian lebih pantas.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerjasama antara jabatan pada peringkat negeri atau persekutuan perlu dipertingkatkan bagi memastikan keberkesanan penyampaian kepada masyarakat.

“Saya percaya semua orang sekurang-kurangnya memiliki satu akaun (laman sosial) tidak kira Facebook, Twitter atau Instagram. Dengan kewujudan akaun seperti ini sebenarnya ia menuntut kita lebih prihatin dengan persekitaran.

“Kita tidak boleh harap berita akan tersebar sama ada satu atau dua jam selepas berlaku tetapi ia akan tersebar dalam satu saat atau kurang kerana semua orang kini mampu melaporkannya,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Beliau berkata penjawat awam perlu memahami langkah ditetapkan Kerajaan Negeri bagi merealisasikan perancangan yang digariskan ke arah Negeri Pintar 2025 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Katanya dasar digariskan Kerajaan Negeri dan perubahan pengurusan pentadbiran yang dilaksanakan perlu diikuti dan dihayati.