Categories
PBT SELANGOR

Pantau kebersihan pangsapuri, elak penularan penyakit

SHAH ALAM, 29 JAN: Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) digesa memantau kebersihan kawasan perumahan bagi mengelakkan penularan sebarang penyakit, kata yang dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor.

Rahilah Rahmat berkata usaha itu perlu disokong semua komuniti demi kesejahteraan bersama.

“Kita sebagai masyarakat harmoni perlu bekerjasama membantu JMB atau MC dan usaha ini perlu ditunjukkan melalui pembayaran wang akuan penjelas dan penyelenggaraan bangunan.

“Sekiranya kerjasama ini terus kukuh, ia akan melahirkan komuniti strata yang sihat serta produktif,” katanya ketika berucap pada Program Malam Anugerah JMB/MC 2019 di Eco Grandeur, Puncak Alam, baru-baru ini.

Rahilah berkata anugerah julung kali itu bagi mengukur prestasi penyampaian perkhidmatan JMB/MC daripada segi pengurusan dan penyelenggaraan bangunan, kewangan, keselamatan, risiko, aduan dan penglibatan komuniti serta kesejahteraan penduduk.

Katanya, penilaian berkenaan penting bagi memastikan badan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan berada pada tahap terbaik, sekali gus meningkatkan nilai hartanah dan keyakinan pelabur serta perspektif pembeli pada masa akan datang.