Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor Asia Challenge medan pemain muda pamer bakat

SHAH ALAM, 8 JAN: Kejohanan Asia Challenge 2020 anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Januari ini menjadi medan terbaik Gergasi Merah mempamerkan bakat pemain muda.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata edisi sulung pra musim itu dijangka sengit apabila membabitkan penyertaan tiga kelab terhandal dari rantau Asia Tenggara.

“Ketiga-tiga pasukan jemputan iaitu Hanoi FC dari Vietnam; Bangkok United (Thailand) dan Persib Bandung (Indonesia) adalah antara kelab bola sepak yang berada di takhta teratas serta digeruni di negara masing-masing.

“Kita boleh melihat pemain muda dari setiap pasukan beraksi kerana mustahil untuk jurulatih meletakkan kesebelasan utama mereka di sepanjang dua hari kejohanan itu,” katanya kepada SelangorKini, hari ini.

Dr Johan berkata pihaknya melakukan persiapan rapi bagi memastikan kejohanan berkonsepkan karnival itu berjalan seperti dirancang.

Katanya, skuad Gergasi Merah juga sudah bersedia daripada aspek mental dan fizikal bagi menampilkan aksi cemerlang dalam mengharungi perlawanan itu.

“Semua pemain kita berada dalam keadaan baik untuk diturunkan pada setiap perlawanan kecuali penyerang, Rufino Segovia dan Noor Hakim Hassan yang tidak dapat bermain.

“Sementara itu, kesemua pasukan pelawat dijangka tiba minggu hadapan dan mereka akan menjalani sesi latihan di padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Kelana Jaya serta Sime Darby, Bukit Jelutong,” katanya.

Beliau turut menyeru semua peminat bola sepak Selangor tampil memberi sokongan padu sebagai membuktikan pasukan itu memiliki kumpulan penyokong terbesar.

“Kita sepatutnya berbangga kerana dapat menganjurkan kejohanan ini buat pertama kali dan penyokong perlu mengambil peluang untuk menyaksikan pasukan terbaik menentang Selangor,” katanya.

Penyokong yang mahu menyaksikan perlawanan itu boleh mendapatkan tiket masing-masing menerusi laman sesawang FAS atau pada hari kejohanan dengan harga RM15 (pemegang kad Red Giants) dan RM30 (bukan pemegang kad) manakala RM5 (kanak-kanak).