Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

UKM cipta mesin inovatif urai sisa makanan

SHAH ALAM, 10 JAN: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meneroka projek kitar semula dengan penghasilan mesin inovasi bagi merintis pengurusan sisa makanan kepada baja kompos yang berguna kepada tanaman, kata penasihat projeknya.

Prof Madya Dr Khairul Anuar berkata projek ‘Redirect: Bin To Garden’ adalah inisiatif untuk menyediakan mesin inovatif teknologi hijau itu dan menjalin kerjasama dengan Sekolah Rendah Sungai Ramal Dalam Kajang sebagai perintis kepada usaha ini.

“Selaku penaung projek, UKM yakin dan percaya bahawa didikan dan kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar harus bermula sejak di bangku sekolah supaya dapat dipupuk secara berterusan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata usaha murni pemberian mesin itu secara tidak langsung memberi impak positif kepada pelajar dan guru untuk lebih bijak serta berhemah dalam pengurusan lebihan sisa makanan.

“Sebagai contoh, hasil kompos itu nanti akan digunakan sebagai baja untuk tanaman pokok bunga dan sayuran di sekolah selain boleh dijual dan diedarkan kepada komuniti.

“Kita berharap projek ini akan memberi manfaat dan cakna kepada semua pihak dalam pengurusan sisa makanan sama ada di sekolah, rumah atau premis makanan,” katanya.

Projek itu mendapat kerjasama dan sokongan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Perbandaran Kajang dan Mentari Eko (M) Sdn Bhd.

Berdasarkan statistik SWCorp, rakyat Malaysia menjana lebih daripada 16,000 tan sisa makanan sehari dan daripada jumlah itu 3,000 tan sisa masih boleh dimakan.