Categories
SELANGOR

Wabak koronavirus 2019 tidak jejas sambutan Tahun Baharu Cina Selangor

SHAH ALAM, 31 JAN: Kehadiran pengunjung ke Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat Selangor diharap tidak terjejas ekoran penularan wabak koronavirus 2019, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar percaya kawalan dan tindakan yang dilakukan Kerajaan Persekutuan menangani wabak itu amat cekap.

“Saya harap tidak. Saya percaya kerajaan dapat mengawalnya dan langkah susulan itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

“Kita antara negara yang mampu dan menunjukkan sistem kawalan terbaik di dunia. Malah, tindakan dibuat sebelum ini, mendahului arahan kecemasan keselamatan yang dikeluarkan,” katanya selepas Majlis Temu Rapat Dato’ Menteri Besar bersama Pengetua dan Guru Besar Selangor, di SUK hari ini.

Sambutan Tahun Baharu Cina di Dataran Petaling Jaya esok bakal disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sambutan bermula jam 6.30 petang sehingga 10.30 malam itu dijangka dihadiri kira-kira 12,000 orang awam.