Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir harapan rakyat Malaysia pulang dari Wuhan sihat

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China sihat dan dihindari daripada jangkitan koronavirus 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan jangkitan koronavirus itu, amat prihatin dengan keselamatan diri serta tahap kesihatan rakyat Malaysia di negara itu.

“Seri Paduka Baginda mendoakan mereka semua yang dibawa pulang ini, dilindungi dari simptom koronavirus, semoga mereka dapat bersama keluarga dan sanak saudara tercinta, secepat mungkin.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya para pegawai dan kru penerbangan terlibat, atas usaha menjayakan dan kelancaran misi ini, untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan, atas usaha memantau tahap kesihatan kesemua rakyat Malaysia apabila tiba di negara ini, dan memastikan mereka bebas daripada jangkitan koronavirus serta penyakit.

-BERNAMA