Categories
AGENSI SELANGOR

Bekalan air di Ampang 87 peratus pulih

SHAH ALAM, 8 FEB: Gangguan bekalan air di 54 kawasan terjejas sekitar Ampang akibat paip pecah di Rumah Pam Hulu Klang mencapai 87.5 peratus pulih setakat jam 7 petang tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abdul Halem Mat Som berkata bekalan air sudah mula memasuki sistem agihan di penghujung kawasan dan lokasi tinggi pada jam 6 petang.

“Air Selangor memohon kerjasama pelanggan untuk menjimatkan bekalan terutama pada waktu puncak bagi memastikan proses pemulihan lancar.

“Sehingga kini bekalan air terus digerakkan dengan tumpuan ke lapan lokasi yang belum pulih,” katanya dalam kenyataan.

Pelanggan digalakkan terus ke Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Aeon Big Ampang, Taman Dagang Permai, Ampang dan Pili Awam Lembah Jaya bagi mendapatkan bantuan atau hubungi talian 15300.

Perkembangan pemulihan air juga dibuat di Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi telefon pintar Air Selangor dan laman sesawang di www.airselangor.com.