Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bomba kaji persempadanan semula, bantuan lebih pantas

SHAH ALAM, 26 FEB: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengkaji persempadanan semula agensi itu di seluruh negara, kata ketua pengarahnya.

Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata kajian dua tahun bermula tahun ini bertujuan memperkemaskan tugasan dan perkhidmatan JBPM dalam operasi menyelamat berdasarkan faktor perkembangan semasa, kepesatan fizikal serta risiko, lapor Berita Harian.

“Kajian ini juga bertujuan mendapat maklum balas, termasuk ada kawasan yang memerlukan balai bomba baharu berikutan kepesatan pembangunan seperti di Pahang, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Perak.

“Persempadanan semula dan balai baharu membantu memberikan bantuan lebih pantas,” katanya yang menyatakan kali terakhir persempadanan semula dilakukan pada 2015.

Berdasarkan statistik, JBPM mempunyai 315 balai bomba dan dibantu 502 anggota sukarela yang bersama dalam tugasan kebombaan di seluruh negara.