Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi didorong kenaikan Wall Street

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi, didorong kenaikan kaunter berkaitan indeks berikutan peniaga menjejaki peningkatan semalaman di Wall Street.

Pada jam 9.30 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.77 mata kepada 1,554.57 daripada 1,542.80 semasa ditutup pada Isnin, selepas dibuka tinggi 2.09 mata kepada 1,544.89 pagi ini.

Suasana pasaran positif berikutan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 280 berbanding 121, dengan 218 kaunter tidak berubah, 1,364 tidak diniagakan dan 36 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 446.89 juta saham bernilai RM258.64 juta.

Dalam nota, PublicInvest Research berkata FBM KLCI dibuka tinggi selepas Komposit Nasdaq dan S&P 500 meraih rekod penutupan pada Isnin berikutan pendapatan korporat suku keempat Amerika Syarikat yang kukuh dan melihat kebimbangan mengenai potensi gangguan penularan koronavirus 2019 terhadap rantaian bekalan global.

“Dow Jones Industrial Average meningkat 174.31 mata untuk ditutup kepada 29,276.82, naik 0.6 peratus. Indeks S&P 500 menambah 24.38 mata, atau 0.7 peratus, ditutup kepada 3,352.09. Indeks Komposit Nasdaq menokok 107.88 mata, atau 1.1 peratus, ditutup kepada 9,628.39,” katanya.

-BERNAMA