Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Mahathir dedah sebab berundur mengejut

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata banyak sebab yang mendorong beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Isnin lepas.

Menurutnya, salah satu sebab utama ialah beliau tidak dapat menerima jika parti UMNO menyertai kerajaan campuran yang mungkin diwujudkan.

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai Kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya.

“Maka terpaksalah saya letak jawatan,” kata Dr Mahathir dalam perutusan khas ke seluruh negara yang disiarkan melalui stesen televisyen utama dan pelbagai platform media sosial pada jam 4.45 petang.

Katanya beliau telah minta untuk diberi masa, tetapi “parti saya BERSATU memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan.

“Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini, kerajaan Pakatan Harapan akan gugur.

“Kesannya jika BERSATU sokong PAS dan UMNO maka parti-parti yang kalahlah yang akan diri kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.”

Tindakan Dr Mahathir meletakkan jawatan Isnin lepas menimbulkan pelbagai spekulasi dan ini merupakan kali pertama beliau membuat kenyataan umum bagi menjelaskan sebab-sebab beliau meletak jawatan.

Dr Mahathir berkata sebenarnya beliau telah berjanji akan meletak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan pengganti beliau.

“Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak, saya akan terima siapa sahaja yang dipilih,” katanya yang dilantik sebagai Perdana Menteri Sementara oleh Yang di-Pertuan Agong kira-kira enam jam selepas menyerahkan surat perletakan jawatan kira-kira jam 1.00 tengah hari Isnin.

Katanya peluang untuk menukar kepimpinan memang ada.

“Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba,” katanya dan menambah itulah sebabnya beliau meminta diberi masa.

Dr Mahathir berkata beliau juga merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak, sehingga beliau tidak dapat memilih pihak manakah yang akan beliau pilih.

Dalam masa yang sama, ada juga tuduhan bahawa beliau tidak berniat untuk melepas jawatan kerana gila kuasa.

“Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” (adalah segala-galanya) adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” (alat untuk mencapai objektif) atau satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

“Kerana itu saya meletak jawatan, kerana bagi saya, ternampak bahawa bagi orang politik, yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang,” kata Dr Mahathir dalam ucapan selama kira-kira enam minit dari pejabatnya di Putrajaya.

-BERNAMA