Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Dua beg galas berisi wang diletak atas sofa di rumah Rosmah

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Bekas pemandu kepada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau meletakkan dua beg galas berisi bungkusan wang denominasi RM100 di atas sofa hijau di kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Langgak Duta pada penghujung 2017.

Menceritakan bagaimana penghantaran dua beg itu, Shamsul Rizal Sharbini, 42, ketika membacakan penyataan saksinya berkata beliau dan Saidi Abang Samsudin, yang ketika itu majikannya telah mengikut kereta Rayyan Radzwill Abdullah, rakan kongsi Saidi ke sebuah rumah di Langgak Duta.

“Ini merupakan rumah yang sama di mana saya pernah menghantar Saidi sebelum ini. Apabila sampai di rumah itu, saya nampak pintu pagar kediaman dibuka. Saya menurunkan Saidi di situ sementara Rayyan meletakkan kenderaannya di luar. Ketika itu saya nampak Datuk Rizal Mansor (bekas pembantu Rosmah) telah menunggu di pintu rumah tersebut,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.

Saksi pendakwaan keempat itu, yang memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes rasuah Rosmah berhubung projek tenaga solar berkata, sampai di lobi rumah itu, Rayyan mengarahkannya supaya membawa beg bewarna hitam dan jingga itu masuk ke kediaman tersebut.

“Saya telah membawa kedua-dua beg itu masuk dan mengekori Saidi, Rayyan dan Datuk Rizal sehingga sampai di satu ruang tamu. Ketika itu, Saidi, Rayyan dan Datuk Rizal sedang berbual dan saya terdengar Saidi bertanya kepada Datuk Rizal “Where is Madam”.

“Seingat saya, Datuk Rizal cakap “Madam is upstairs’. Selepas itu, saya ambil keputusan sendiri dan meletakkan kedua-dua beg yang saya bawa itu di atas sofa hijau,” katanya yang turut membuat pengecaman ke atas gambar sofa berwarna hijau yang beliau maksudkan itu.

Kepada soalan Mohamad Mustaffa, saksi itu berkata beliau turut dibawa oleh beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menunjukkan lokasi di mana kedua-dua beg galas itu diletakkan dan tempat pembelian kedua-dua beg berkenaan.

Shamsul Rizal berkata, beliau, Saidi dan Rayyan kemudian beredar dari kawasan rumah berkenaan dan seingatnya, Saidi dan Rayyan tidak membawa bersama kedua-dua beg galas yang diletakkan di atas sofa itu.

“Saya juga tidak perasan sama ada Datuk Rizal telah beredar dari rumah tersebut semasa kami beredar. Saidi juga tidak pernah cerita kepada saya apa terjadi dengan dua beg galas dan wang di dalam beg tersebut dan saya juga tidak tahu tujuan Saidi membawa kedua-dua buah beg ke dalam rumah itu,” katanya.

Terdahulu, Shamsul Rizal berkata Saidi mengarahkannya supaya menghantarnya ke Maybank Jalan Tuanku, namun majikannya itu tidak menyatakan tujuan beliau pergi ke bank berkenaan.

“Sampai di Maybank, saya menurunkan Saidi sementara saya menunggunya di tempat letak kereta. Tidak lama selepas itu, Saidi menghubungi saya dan mengarahkan saya membeli dua buah beg galas. Kemudian, saya pergi ke lorong Chow Kit dan membeli dua beg galas pada harga RM45 setiap satu.

“Selepas itu, saya pergi ke bank berkenaan dan membawa dua buah beg ke tingkat atas bank seperti diarahkan oleh Saidi. Saidi mengarahkan saya memasukkan bungkusan-bungkusan wang denominasi RM100 ke dalam kedua-dua beg tersebut. Perkara itu berlaku dalam bilik tunai Maybank,” katanya yang turut memaklumkan beliau tidak mengira wang kerana tugasannya hanya masukkan wang ke dalam kedua-dua beg galas berkenaan.

Menurut Shamsul Rizal, kedua-dua beg itu kemudiannya dibawa keluar dari bank tersebut dan dimasukkan ke dalam tempat penyimpanan barang kereta yang beliau dan Saidi naiki.

Saksi itu juga berkata beliau pernah menghadiri satu mesyuarat berkaitan projek solar di Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Saya tidak ingat tarikh mesyuarat itu tetapi sebelum Jepak Holdings mendapat projek ini (Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak).

“Saya menghadiri mesyuarat itu bersama Rayyan dan saya telah diarahkan oleh Saidi untuk menghadiri mesyuarat itu kerana Rayyan meminta kebenaran daripada Saidi untuk membawa saya,” katanya.

Saksi itu berkata terdapat pertelingkahan di dalam mesyuarat itu di mana Rayyan menyatakan ketidakpuasan hati kepada pihak kementerian.

“Pihak kementerian juga ada menyuarakan ketidakpuasaan hati mereka dengan Rayyan. Saya tidak memberikan perhatian dalam mesyuarat itu kerana ia di luar skop tugas saya dan saya tidak faham apa yang mereka bincangkan,” katanya.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin depan.

– BERNAMA