Categories
AGENDA NASIONAL

Eksport Musang King ke China dijangka capai RM50 juta – FAMA

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai eksport durian Musang King ke China pada tahun ini sebanyak RM50 juta walaupun wujud kebimbangan ia akan terjejas berikutan penularan koronavirus 2019 di negara itu.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata nilai eksport durian itu pada tahun lepas RM30 juta dan berharap koronavirus di republik itu akan berakhir tidak lama lagi.

Katanya, sasaran dibuat berdasarkan tempoh durian Musang King berbuah pada Julai, Ogos dan September.

“Kita popular dengan durian Musang King yang dieksport. (Pada masa ini) berlaku koronavirus, dan ia bukan pada musim Musang King (berbuah). Oleh itu, ia tidak memberi kesan (kepada eksport ke China).

“Saya yakin dan percaya peningkatan permintaan terhadap Musang King adalah luar biasa dan harga di sana juga amat menarik jika dibandingkan di sini antara RM40 dan RM90 sekilogram. Di sana, ia boleh dijual antara RM200 dan RM400 sekilogram,” katanya selepas melancarkan My Best Buy (MBB) FAMA @ Le Tour De Langkawi (LTdL) di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, jumlah pengunjung ke MBB menggalakkan dan percaya rakyat telah mengambil langkah proaktif untuk menghadapi koronavirus selain peniaga turut mengutamakan kebersihan dalam penyediaan makanan dan jualan.

Katanya, kelainan yang dibawa pada MBB di lokasi keempat ini ialah menampilkan kek bulan halal yang juga merupakan produk ‘signature’ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hasil daripada inovasi usahawan Muslim kepada penggemarnya.

Program MBB LTdL 2020 sebelum ini diadakan di Kota Kinabalu, Sabah diikuti Kuching, Sarawak dan Kerteh, Terengganu.

Hari ini, ia diadakan di Kuala Lumpur City Centre dan akan diteruskan di Ipoh, Perak pada 10 hingga 11 Februari, Padang Kota Lama, Pulau Pinang (11-12 Februari), Alor Setar, Kedah (13 Februari) dan di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah (12-15 Februari).

– BERNAMA