Categories
AGENDA NASIONAL

Elak beli topeng mulut dan hidung secara panik

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembelian panik dengan mendapatkan topeng mulut dan hidung dalam jumlah yang besar, kerana ia akan menimbulkan keresahan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya kerajaan akan memastikan bekalan topeng mulut dan hidung dalam negara mencukupi berikutan permintaan yang sangat tinggi, susulan penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCov) yang melanda pada masa ini.

“Itu (pembelian panik) akan menimbulkan keresahan yang tinggi. Sementara kerajaan berusaha supaya pihak yang bertanggungjawab memastikan bekalan (topeng mulut dan hidung) mencukupi, saya juga memohon kerjasama daripada rakyat, tidak melakukan ‘panic buying’, pembelian dalam jumlah yang besar secara tiba-tiba,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat 20 Negara Serantau Pejabat Harta Intelek Berkaitan Sistem Madrid di sini hari ini.

Beliau berkata pengeluar topeng mulut dan hidung tempatan telah diminta meningkatkan pengeluaran mereka dan import barangan itu juga perlu ditingkatkan, selepas pertemuan bersama pihak terlibat dilakukan minggu lepas.

Saifuddin berkata sebelum ini, hampir 90 peratus bekalan topeng dalam negara yang kebanyakannya diperolehi dari China, Eropah, Amerika Syarikat dan Singapura adalah lebih kepada ‘surgical mask’ dan topeng industri serta penggunaan biasa dan sesekali meningkat apabila berlakunya jerebu.

“Kementerian telah mengadakan pertemuan dengan pengimport dan juga pengeluar topeng mulut dan hidung pada minggu lepas, tujuannya untuk mendapatkan ‘fact finding’ memastikan bekalan mencukupi, harga adalah harga yang di bawah harga kawalan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi kawalan harga kerana topeng mulut dan hidung, adalah barangan harga terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, setakat ini kementerian itu telah mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah bagi topeng mulut dan hidung dan pihaknya bersiap siaga sepenuhnya untuk mengadakan pemantauan.

– BERNAMA