Categories
AGENDA GLOBAL

Erdogan: Sidang kemuncak bincang konflik Syria 5 Mac

ISTANBUL 23 FEB: Sidang kemuncak membincangkan konflik di Syria anjuran Turki bersama
pemimpin Russia, Perancis dan Jerman diadakan pada 5 Mac ini.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, bagaimanapun tidak menjelaskan lokasi penganjuran sidang kemuncak berkenaan, lapor AFP.

Walaupun lokasi penganjuran sidang kemuncak masih belum ditetapkan, Erdogan ketika ditemui pemberita mengesahkan Macron dan Merkel mencadangkan supaya ia diadakan di Istanbul, manakala Putin belum memberi maklum balas.

“Kami duduk bersama pada 5 Mac ini dan membincangkan isu ini (konflik Syria),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Erdogan mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Russia, Vladimir Putin dan telesidang bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron serta Canselor Jerman, Angela Merkel.

Dalam perbualan itu, semua pemimpin terbabit menyuarakan kebimbangan mereka berhubung peningkatan keganasan dan krisis kemanusiaan di Syria.