Categories
AGENDA JENAYAH

Jho Low belum disenarai dalam notis merah Interpol

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Agensi polis antarabangsa (Interpol) sepatutnya sudah menyenaraikan nama ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sebagai individu dikehendaki menerusi laman webnya, selepas menerima permohonan pihak berkuasa berkaitan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata biasanya, proses permohonan itu tidak mengambil masa lama bagi membantu serta melengkapkan siasatan sesuatu kes, lapor BH Online.

“Kalau ada permohonan, (sepatutnya) tiada masalah. Ia berdasarkan pengalaman saya ketika jadi Ketua Polis Negara.

“Interpol akan senaraikan individu dikehendaki dan mengeluarkan notis merah mengikut permohonan dilakukan.

“Dalam hal ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang buat permohonan, saya tidak boleh komen kena tanya mereka (SPRM),” katanya.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim tidak menolak kemungkinan SPRM tidak mempunyai penyelaras untuk berurusan dengan Interpol menjadi antara punca Jho Low masih tiada dalam senarai merah.

“SPRM perlu hubungi dan berkomunikasi terus dengan ibu pejabat Interpol di Perancis. Kalau polis yang hantar permohonan mungkin cepat prosesnya kerana mereka mempunyai pegawai yang dikhaskan untuk berurusan dengan Interpol,” katanya.